Selasa, 07 Juli 2009

MENGENAL PARA IMAM MAZHAB

Oleh Zainuddin Ali
BAB II
MENGENAL PARA IMAM MAZHAB
A. Pendahuluan
Untuk mengetahui secara sempurna keilmuan para Imam Mazhab dalam Islam yang empat, maka terlebih dahulu mengetahui riwayat hidup para imam mazhab dimaksud. Bab ini menguraikan sejarah hidup Abu Hanifah kerana beliau adalah yang pertama tampil sebagai imam Mazhab di antara 4 (empat) imam Mazhab.1)
a. Imam Abu Hanifah
Abu Hanifah pada satu hari berjumpa dengan seorang tokoh agama yang masyhur di ketika itu bernama al-Sya’bi. Al-Sya’bi melihatkan kepintaran dan kecerdasan luar biasa yang dimiliki oleh Abu Hanifah, sehingga ia menasehati agar lebih banyak mencurahkan usaha ke dalam bidang ilmu-ilmu Islam. Berdasarkan nasehat dan dorongan al-Sya'bi, maka Abu Hanifah secara khusus mempelajari ilmu-ilmu Islam.
Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu'man bin Tsabit bin Zhuthi' lahir pada tahun 80H/699M di Kufah, Iraq, sebuah kota yang sudah terkenal sebagai pusat ilmu di zaman itu. Ianya diasaskan oleh ‘Abd Allah ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh (32H/652M), seorang sahabat zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ayahnya seorang pedagang besar, sempat hidup bersama ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anh. Abu Hanifah terkadang ikut serta dalam urusan perniagaan ayahnya. Namun minatnya lebih besar untuk membaca dan menghafal Qur'an.
Abu Hanifah mula belajar dengan mendalam ilmu-ilmu qiraat, ilmu bahasa Arab, ilmu kalam dan lain-lain. Akan tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah ilmu hadis dan fiqh. Beliau banyak meluangkan masa dan tenaga mendalaminya. Abu Hanifah meneruskan pembelajarannya dengan berguru kepada al-Sya’bi dan beberapa tokoh ilmuan lain di Kufah. Menurut riwayat, jumlah gurunya di Kufah saja berjumlah 93 orang.
Beliau kemudiannya berhijrah ke wilayah Basrah untuk berguru bersama Hammad bin Abi Sulaiman, Qatadah dan Shu’bah. Setelah sekian lama berguru dengan Shu’bah yang pada ketika itu terkenal sebagai Amir al-Mu’minin fi Hadis (Pemimpin umat dalam bidang hadis), beliau diizinkan gurunya untuk memulai mengajar hadis kepada masyarakat umum. Shu'bahmengungkapkan bahwa:
Sebagaimana aku ketahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari, aku juga ketahui dengan pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasangan bersama.
Abu Hanifah tidak hanya puas perasaan dengan hanya belajar di Kufah dan Basrah sehingga melanjutkan studi ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana Abu Hnifah duduk berguru kepada ‘Atha’ bin Abi Rabah. Selanjutnya, Abu Hanifah duduk pula bersama Ikrimah, seorang tokoh besar di Mekah yang juga merupakan anak murid kepada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas, ‘Ali bin Abi Talib, Abu Hurairah dan ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhum. Kecerdasan yang dimiliki oleh Abu Hanifah dalam ilmu-ilmu hadis dan fiqh yang diakui oleh Ikrimah sehingga Abu Hanifah menjadi guru kepada penduduk Mekah.
Abu Hanifah kemudian meneruskan studi di Madinah bersama Baqir dan Ja’afar al-Siddiq. Kemudian beliau duduk bersebelahan dengan Malik bin Anas, tokoh besar kota Madinah ketika itu. Walaupun Abu Hanifah 13 tahun lebih tua daripada Malik, ini tidak menghalanginya untuk turut serta belajar. Apabila guru kesayangannya Sebelum Hammad meninggal dunia di Basrah pada tahun 120H/738M, Abu Hanifah telah diminta untuk mengganti kedudukan Hammad sebagai guru dan sekaligus tokoh agama di Basrah. Memperhatikan cita-cita dan perjuangan Hammad, maka Abu Hanifah diminta untuk setuju kepada jabatan tersebut.
Mulai di sinilah Abu Hanifah mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam. Orang ramai dari serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Disamping mengajar, Abu Hanifah ialah juga seorang pedagang dan beliau amat bijak dalam mengadili antara dua tanggung-jawabnya ini sebagaimana terang anak muridnya al-Fudail ibn ‘Iyyad:
Adalah Abu Hanifah seorang ahli hukum, terkenal dalam bidang fiqh, banyak kekayaan, suka mengeluarkan harta untuk sesiapa yang memerlukannya, seorang yang sangat sabar dalam pembelajaran baik malam atau siang hari, banyak beribadat pada malam hari, banyak berdiam diri, sedikit berbicara terkecuali apabila datang kepadanya sesuatu masalah agama, amat pandai menunjuki manusia kepada kebenaran dan tidak mahu menerima pemberian penguasa.
Pada zaman pemerintahan Abbasid, Khalifah al-Mansur telah beberapa kali meminta beliau menjawat kedudukan qadi kerajaan. Abu Hanifah berkeras menolak tawaran itu. Jawapan Abu Hanifah membuatkan al-Mansur marah lalu dia menghantar Abu Hanifah ke penjara. Akan tetapi tekanan daripada orang ramai menyebabkan al-Mansur terpaksa membenarkan Abu Hanifah meneruskan pengajarannya walaupun daripada dalam penjara. Apabila orang ramai mula mengerumuni penjara untuk belajar bersama Abu Hanifah, al-Mansur merasakan kedudukannya mula tergugat. al-Mansur merasakan Abu Hanifah perlu ditamatkan hayatnya sebelum terlambat.
Akhirnya Abu Hanifah meninggal dunia pada bulan Rejab 150H/767M ketika di dalam penjara disebabkan termakan makanan yang diracuni orang. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini dirasai oleh dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah. Abu Hanifah mempunyai beberapa orang murid yang ketokohan mereka membolehkan ajarannya diteruskan kepada masyarakat. Antara anak-anak murid Abu Hanifah yang ulung ialah Zufar (158H/775M), Abu Yusuf (182H/798M) dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani (189H/805M).
b. Imam Malik bin Anas
Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 93H/711M. Beliau dilahirkan di dalam sebuah kota yang merupakan tempat tumbuhnya Islam dan berkumpulnya generasi yang dididik oleh para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, radhiallahu ‘anhum. Sejarah keluarganya juga ada berhubungan dengan ilmu Islam, yaitu datuknya sendiri seorang perawi dan penghafal hadis yang terkemuka. Bahkan Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadis kota Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas berguru untuk mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadis. Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadis dari ‘Abd Allah ibn ‘Umar, ‘A'isyah binti Abu Bakar, Umm Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum.
Selain Nafi’, Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Ja'afar al-Siddiq, cucu dari al-Hasan, cucu dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Malik juga duduk belajar di Masjid Nabawi berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salmah al-Dinar, Yahya bin Sa'ad dan Hisham bin ‘Urwah. Mereka ini semua adalah murid dari sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Suasana kehidupan Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu adalah kehidupan suasana para tabi‘in yang amat menguntungkannya. Para tabi‘in ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka sempat belajar, mendengar hadis dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat haji.
Malik bin Anas menjadi tokoh agama di Masjid Nabawi. Ajarannya diikuti oleh ummat Islam dari pelbagai daerah di dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai mufti di Madinah ketika itu. Selain itu, merupakan orang pertama dalam mengumpul dan membukukan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam kitabnya Al Muwattha'.2) Kitab dimaksud, menjadi hafalan dan rujukan orang-orang Islam sehingga ia pernah dikatakan oleh al-Syafi‘e sebagai:
Tidak lahir sebuah buku di bumi yang menghampiri kemiripan al-Qur'an melainkan kitab Imam Malik ini.
Antara tokoh yang tekenal duduk belajar bersama Imam Malik ialah Abu Hanifah dari Kufah. Selain itu diriwayatkan bahawa sebanyak 1300 tokoh-tokoh lain yang duduk bersama Imam Malik menuntut ilmu di Masjid Nabawi, di antaranya Muhammad bin Idris, yang kemudian terkenal dengan gelaran Imam al-Syafi‘e. Ketinggian ilmu Malik bin Anas pernah diungkap oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai:
Malik adalah penghulu dari para penghulu ahli ilmu dan dia pula seorang imam dalam bidang hadis dan fiqh. Siapakah gerangan yang dapat menyerupai Malik ?
Malik pernah dihukum oleh Gubenur Madinah pada tahun 147H/764M kerana telah mengeluarkan fatwa bahawa hukum talak yang pertama dilaksanakan oleh kerajaan Abbasid adalah tidak sah. Kerajaan Abbasid ketika itu telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan jatuh talak ke atas isterinya ! Raja Abbasid memandang rakyatnya lebih taat kepada ulama' daripada pemimpin, pemerintah Abbasid telah memaksa Malik untuk mengesahkan fatwa mereka. Malik enggan malah mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa talak sedemikian tidak sah (tidak jatuh talaknya). Malik ditangkap dan dipukul oleh Gubernur Madinah sehingga tulang bahu patah dan keluar dari tempat asalnya. Kecederaan ini amatlah berat sehingga beliau tidak lagi dapat melaksanakan shalat kecuali kedua tangannya berpegang di dadanya, lalu dibiarkan saja di tepi badannya.
Malik kemudian dibebaskan dan beliau kembali mengajar di Madinah sampai meninggal dunia pada tanggal 11 Rabiul-Awal tahun 179H/796M. Di antara anak-anak murid beliau yang masyhur ialah ‘Abd al-Rahman bin al-Qasim al-Tasyri (191H/807M), Ibn Wahhab Abu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).
c. Imam al-Syafi‘e
Imam al-Syafi‘e lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris al-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraish dan hidup tanpa melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawa ke Mekah untuk ibadah Haji dan sesudah itu menetap di sana untuk menuntut ilmu. Di Mekah, al-Syafi‘e memulai belajar kepada Muslim bin Khalid al-Zanji, mufti Kota Mekah ketika itu.
Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi al-Syafi‘e, yaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, yaitu ajaran Malik bin Anas dan ajaran Abu Hanifah.
Kitab ilmu yang paling terkemuka ketika itu ialah al-Muwattha' karangan Malik bin Anas dan al-Syafi‘e dalam usia 15 tahun sudah menghafal keseluruhan kitab tersebut. al-Syafi‘e berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan penulis kitab al-Muwattha' . Ketika itu al-Syafi‘e berumur 20 tahun dan menjadi murid terpintar Imam Malik sehingga ketika Imam Malik meninggal pada tahun 179H/796M ia diangkat untuk mengambil alih kedudukan Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi. Selanjutnya, al-Syafi‘e diangkat oleh Gubernur menjadi mufti di Yaman. Namun Jabatan al-Syafi‘e di Yaman tidak lama kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut Mazhab Syi‘ah. Selain itu, pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehingga beliau dirantai dan dimasukkan ke penjara di Baghdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.
al-Syafi‘e dibawa menghadap ke Khalifah Harun al-Rashid dan beliau berhasil membuktikan kebenaran dirinya. Kepintaran dan kecakapan al-Syafi‘e membela dirinya dengan pelbagai hujah agama menyebabkan Harun tertarik kepadanya. al-Syafi‘e dibebaskan dan dibiarkan bermukim di Baghdad. Di sini al-Syafi‘e telah berkenalan dengan anak murid Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutama Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi al-Syafi‘e, yaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam: yaitu ajaran Malik bin Anas dan ajaran Abu Hanifah.
Pada tahun 188H/804M, al-Syafi‘e berhijrah ke Mesir. Sebelum itu, beliau singgah sebentar di Mekah dan di sana beliau diberi penghormatan dan diperkenankan memberi kelas pengajian yang kemudian diangkat sebagai seorang imam. al-Syafi‘e banyak meluangkan waktu untuk berusaha menutup jurang perbedaan antara ajaran Malik bin Anas dan Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh penduduk Mekah kerana kebiasaan mereka kepada ajaran Imam Malik.
Pada tahun 194H/810M, al-Syafi‘e kembali ke Baghdad dan beliau diangkat untuk memegang jawatan qadi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. al-Syafi‘e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan al-Syafi‘e bila dibandingkan dengan tokoh-tokoh Islam lainnya ketika itu, maka beliau menjawab:
al-Syafi‘e mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Dia seorang bangsawan, dia mempunyai agama dan i'tiqad yang benar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadis sahih dan hadis daif, nasikh, mansukh, menghafal al-Qur'an dan Hadis, perjalanan hidup para Khulafa' al-Rashidun dan amat pandai mengarangnya.
Dalam usaha al-Syafi‘e untuk menutup jurang perbedaan antara ajaran Malik bin Anas dan Abu Hanifah, al-Syafi‘e menghadapi banyak tentangan dari pengikut-pengikut Mazhab Maliki yang takjub kepada gurunya. Pada suatu malam dalam perjalanan kembali ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, al-Syafi‘e dipukul yang kemudian menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu juga al-Syafi‘e sedang menderita penyakit buasir yang agak serius.
al-Syafi‘e meninggal dunia pada tanggal 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir. Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul al-Risalah. Kitab ini adalah yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum dari sebuah nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Selain itu al-Syafi‘e juga meninggalkan kitab fiqh yang masyhur berjudul al-Umm. Ajaran al-Syafi‘e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yakub al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).
d. Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad pada tahun 164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam yang meninggal dunia pada umur 30 tahun. Ahmad dibesarkan oleh ibunya, yaitu Saifiyah binti Maimunah. Ahmad bin Hanbal menghafal al-Qur’an sejak kecil dan pada umur 16 tahun dia sudah menjadi penghafal hadis yang terkenal. Ahmad bin Hanbal meneruskan studi hadis dari berbagai guru dan beliau pada akhir hayatnya diperkirakan telah menghafal lebih sejuta hadis termasuk barisan perawinya.
Pada tahun 189H/805M Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak lama kemudian ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan al-Syafi‘e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf, Husain ibn Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abd Allah ibn Khalid, ‘Abd al-Rahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Ahmad bin Hanbal ke Yaman untuk berguru dengan ‘Abd al-Razzaq ibn Humam, seorang ahli hadis yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Musannaf. Dalam perjalanannya ini Ahmad mula menulis hadis-hadis yang dihafalnya setelah sekian lama.
Ahmad bin Hanbal kembali ke Baghdad dan mulai mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadis dan pakar fiqh menarik perhatian orang banyak sehingga ia dikerumuni oleh masyarakat untuk berguru. Antara anak muridnya yang kemudian terkenal untuk menjadi tokoh hadis ialah al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. al-Qasim ibn Salam pernah berkata:
Ahmad bin Hanbal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui tentang al-Sunnah selain dia. Dia tidak pernah bersenda gurau, dia selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.
Ahmad bin Hanbal pernah mengalami pengalaman hidup dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Mu’tazilah yang diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu. Mereka (pemerintah) memaksa Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut. Ahmad enggan dan ini menyebabkan beliau dicambuk dengan rotan dalam penjara sampai tidak sadarkan diri.
Ketegasan Ahmad dan tekanan dari masyarakat sehingga pihak pemerintah terpaksa membebaskan beliau dari penjara. Ahmad kemudian meneruskan pengajarannya kepada masyarakat sampai ia meninggal dunia pada tahun 241H/856M. Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadis yang terkenal, yaitu al-Musnad yang memuat lebih kurang 30,000 hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar para sahabat radhiallahu ‘anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan ayah mereka, yaitu ‘Abd Allah bin Ahmad dan Salih bin Ahmad.
Demikian riwayat hidup secara ringkas dari para imam mazhab yang masyhur. Selain itu, terdapat beberapa tokoh yang tidak kurang hebatnya yang hidup se zaman dengan mereka. Akan tetapi karena beberapa sebab tertentu, mazhab para tokoh ini tidak bertahan lama atau tidak menjadi masyhur. Di antara tokoh-tokoh yang dimaksud adalah sebagai berikut.
a) Imam al-Awza‘e. Nama sebenarnya adalah ‘Abd al-Rahman ibn al-Awza‘e. Ia dilahirkan di kota Ba’labek, Syria pada tahun 89H/708M. Terkenal sebagai seorang tokoh hadis yang terkemuka pada zamannya. Antara prinsip ajaran fiqhnya ialah menjauhkan penggunaan kaedah qiyas apabila ada dalil yang jelas dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Mazhab al-Awza‘e terkenal di Syria, Jordan, Palestina dan Lubnan pada abad ke 10 M. Pada saat Mazhab al-Syafi‘e mempengaruhi penduduk di sana. al-Awza‘e meninggal dunia di Beirut pada tahun 157H/774M. Prinsip-prinsip ajaran beliau berkenaan penggunaan qiyas sehingga banyak tertulis di dalam kitab-kitab usul fiqh hingga saat ini.
b) Imam Zaid adalah cucu dari Ali bin Abi Talib melalui anaknya Hasan. Beliau di lahirkan di Madinah pada tahun 81H/700M. Ia mefokuskan perhatian kepada ilmu al-Qur’an dan al-Sunnah. Beliau mengajar di beberapa desa dan kota, di antaranya Madinah, Basrah Kufah dan Wasit. Ajarannya masih diamalkan hingga kini di beberapa lokasi terpencil di Yaman.
c) Imam al-Layts ibn Sa‘ad adalah keturunan Parsi, lahir di Mesir pada tahun 97H/716M. Beliau mempelajari jurusan-jurusan ilmu Islam dari Abu Hanifah dan Malik bin Anas. Ketokohannya di Mesir sangat tersebar sehingga al-Syafi‘e juga berhijrah ke sana untuk duduk belajar bersama anak-anak muridnya. al-Layts meninggal dunia pada tahun 174H/791M dan ajaran-ajarannya tidak tersebar luas karena beliau melarang anak muridnya menulisnya.
d) Imam Sufyan al-Tsauri lahir di Kufah pada tahun 100H/719M dan merupakan salah orang ulama’ yang besar di sana di samping Abu Hanifah. Beliau berani menyuarakan ketidak-setujuannya terhadap beberapa prinsip pemerintahan Abbasid ketika itu yang tidak sejalan dengan ajaran Islam. Sufyan al-Tsauri diburu oleh pihak pemerintah menyebabkan beliau banyak menghabiskan masa hidupnya untuk persembunyian sampai ia wafat pada tahun 160H/777M.
e) Imam Dawud al-Zahiri lahir di Kufah pada tahun 236H/851M. Nama sebenarnya ialah Dawud bin ‘Ali. Beliau pernah berguru dengan al-Syafi‘e dan Ahmad bin Hanbal dalam ilmu hadis dan fiqh. Dawud bin ‘Ali berpegang kepada prinsip tersendiri, yaitu hanya menerima nas al-Qur’an dan al-Sunnah dalam bentuknya yang zahir tanpa ditakwil atau diqiyaskan. Karena itu, beliau terkenal sebagai al-Zahiri yang berasal dari perkataan ‘zahir’. Dawud bin ‘Ali meninggal dunia pada tahun 270H/883M dan mazhabnya banyak didukung oleh tokoh ilmuan yang terkenal pada kurun ke 11M, yaitu Imam Ibn Hazm (456H/1064M).
f) Imam al-Tabari atau nama sebenarnya Muhammad ibn Jarir ibn Yazid al-Tabari lahir di Tabaristan pada tahun 224H/839M. Beliau banyak merantau menuntut ilmu di seluruh semenanjung Arab sampai ke Mesir. Beliau sempat mendalami ajaran-ajaran Abu Hanifah, Malik dan al-Syafi‘e. Sekembalinya ke tempat asalnya beliau mulai mengajar kepada masyarakat. Hasil karya tulis adalah kitab tafsir berjudul Jami’ al-Bayan yang terkenal sampai hari ini.
Demikian riwayat hidup secara ringkas beberapa tokoh-tokoh Islam yang memainkan peran penting dalam menghidup-kan dan memajukan ajaran Islam dari sudut keilmuannya. Mereka mengorbankan keseluruhan hidupnya untuk mencari dan menyebarkan ilmu. Jasa-jasa mereka dapat kita manfaatkan hingga hari ini. 2)[2]
Tokoh-tokoh Islam di atas juga dikenali sebagai imam-imam mujtahid. Imam Mujtahid bermaksud imam yang melakukan ijtihad. Ijtihad dari sudut bahasa bererti:
Mencurah segala kemampuan dalam segala perbuatan. Kata-kata ijtihad tidak dipergunakan kecuali kepada hal-hal yang mengandung kesulitan dan memerlukan banyak tenaga.
Sementara dari sudut syara', ijtihad berarti:
Mencurah segala kemampuan bagi mendapatkan hukum syara’ yang bersifat praktikal
dengan cara istimbat – mengambil kesimpulan hukum.3)[3]
Seorang yang berijtihad dengan menggali, menganalisa dan mengkaji sumber-sumber ilmuan Islam dari al-Qur’an dan al-Sunnah digelar sebagai seorang Mujtahid sepertimana tokoh-tokoh yang dihuraikan biografi mereka di atas.
----------
[3] al-Syaukani – Irsyad al-Fuhul, ms. 250 sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Qaradhawi di dalam bukunya Ijtihad dalam Syari‘at Islam-Beberapa pandangan dan analisa tentang ijtihad Kontemporer (edisi terjemahan oleh Achmad Syathori; Thinker’s Library, K.Lumpur 1988), ms. 1-2.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar